Dunia Sains dan Teknologi dedah murid  kemahiran ICT .
          Mata pelajaran baru, Dunia Sains dan Teknologi telah diperkenalkan kepada  murid-murid Tahun Satu mulai tahun ini untuk menggantikan subjek Sains di  bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).Mata pelajaran baru itu akan memberi pendedahan kemahiran teknologi  maklumat dan komunikasi (ICT) secara praktikal atau `hands-on’ bermula  Tahun Satu, sekali gus membolehkan mereka memanfaatkan ilmu itu  merentasi kurikulum untuk pembelajaran subjek lain.   
        Selain itu, mereka juga akan mempelajari asas sains hayat, sains  fizikal dan sains bahan yang diberi penilaian berasaskan sekolah melalui  kaedah pemerhatian secara berterusan serta pelbagai pendekatan meliputi  secara bertulis dan projek yang ditentukan oleh guru. Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed  Sabri Mohd Arsad, berkata guru yang   terbabit dalam subjek baru itu  sudah mula menjalani kursus peringkat daerah. Mengikut sukatan pelajaran Dunia Sains dan Teknologi, murid Tahun  Satu akan didedahkan kepada penguasaan ICT bagi enam minggu pertama yang  memfokus kepada kemahiran menggunakan aplikasi dan program komputer. Pada dua minggu pertama, murid-murid Tahun Satu akan mempelajari Microsoft Word,  diikuti Microsoft Power Point pada minggu ketiga dan keempat, manakala  minggu kelima dan keenam pula didedahkan kepada Painting.     
       Bagaimanapun, penguasaan kemahiran ICT ini tidak akan dinilai  sebagai subjek peperiksaan, sebaliknya didedahkan kepada murid-murid Tahun  Satu sebagai menyuntik nilai tambah   dari segi kreativiti dan inovasi dalam bidang teknologi maklumat. Selepas pendedahan   enam minggu, murid-murid akan mengasah dan  memantapkan kemahiran yang dikuasai itu secara berterusan dan menggunakannya  merentasi kurikulum untuk membantu keberkesanan pembelajaran mata  pelajaran lain. Dari segi pengisian kurikulum Sains pula, sains hayat akan mendedahkan murid-murid Tahun Satu kepada pembelajaran objek  hidup seperti manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, manakala sains  fizikal berkaitan semua jenis deria, dan sains bahan pula membabitkan  teknologi serta kehidupan lestari yang merangkumi cipta bahan dan reka  bentuk.  
        Pengajaran subjek Dunia Sains dan Teknologi untuk murid-murid Tahun  Satu ini membabitkan dua waktu seminggu di mana mereka akan banyak  terdedah kepada proses pembelajaran menyeronokkan menerusi kaedah  inkuiri, iaitu secara dapatan dan penemuan menarik. Bagaimanapun, bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar,  Kementerian Pelajaran perlu bertindak proaktif  melengkapi semua sekolah rendah dengan kemudahan makmal komputer atau  sekurang-kurang peralatan komputer di setiap kelas Tahun Satu. Ini kerana, masih ada sekolah rendah yang tidak memiliki kemudahan di makmal  komputer atau peralatan itu di bilik darjah. Sekiranya tidak ditangani  segera, dikhuatiri akan menjejaskan matlamat pelaksanaan KSSR.