Thursday 14 July 2011

GALERI FOTO HARI ANUGERAH CEMERLANG 2011.




SK JALAN PEGAWAI, ALOR SETAR.


Barisan guru-guru SKJP









Rakan-rakan guru SKJP yang mengikuti pengajian PPG UMM.


Sunday 10 July 2011

Artikel : APLIKASI KOMPUTER DALAM PENGAJARAN BAHASA.

APLIKASI KOMPUTER DALAM PENGAJARAN BAHASA: PENGUASAAN
GURU DAN KEKANGAN DALAM PELAKSANAAN
Yahya Othman, PhD, Roselan Baki, PhD
Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM, Serdang
Selangor
yahyaoth@gmail.com, roselanbaki@hotmail.com

ABSTRAK
       Pengajaran bahasa dengan menggunakan komputer adalah antara kaedah pengajaran yang dianggap bersesuaian dengan keperluan pendidikan kini. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa mampu mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru dan penguasaan kemahiran bahasa pelajar. Persoalannya ialah sejauh manakah guru Bahasa Melayu (BM) melaksanakan pengajaran menggunakan komputer dan tahap penguasaan guru serta kekangan yang dihadapi. Maka kajian secara tinjauan ini meneliti tahap dan kekangan dalam melaksanakan pengajaran bahasa menggunakan komputer. Di samping itu, kajian juga mengkaji kekangan yang mengganggu pelaksanaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Sampel kajian terdiri daripada 87 guru BM di sekitar daerah Hulu Langat, Selangor. Dapatan kajian menunjukkan sampel kajian menguasai konsep pengajaran bahasa berbantukan komputer dan kebanyakan mereka telah mengikuti kursus asas komputer. Kursus yang berkaitan penyediaan bahan pengajaran multimedia, penggunaan internet dan pembinaan laman web agak kurang diberikan perhatian. Kesan pengajaran BM menggunakan komputer kepada pelajar agak positif terutamanya kepada pelajar yang cerdas. Kekangan utama yang dihadapi oleh guru dalam menjalankan pengajaran BM berbantukan komputer ialah guru kurang mahir mengendalikan komputer untuk pengajaran dan pelajar kurang berminat dalam pembelajaran.
 
PENGENALAN
             Dalam memperkatakan teknologi dalam pendidikan, Grove et al. (2004) menyatakan nilai teknologi di dalam bilik darjah telah menimbulkan isu dan perdebatan dalam kalangan ahli teknologi pendidikan. Teknologi telah dibuktikan dapat meningkatkan produktiviti, menambahkan motivasi, menyokong pengajaran secara tidak langsung, kebolehan pengajaran yang bersifat unik, dan meningkatkan literasi maklumat (Roblyer & Schwier, 2003). Justifikasi ini timbul di dalam iklim kritikan berasaskan pelaburan yang besar dalam teknologi yang diragui keberkesanannya (Cuban, 2001). Dalam hal ini, ahli teori telah meletakkan diri mereka sebagai penyokong kepada perspektif yang menjurus kepada efektifnya penggunaan teknologi. Dalam hal ini, Ertmer (1999) dan Hokanson & Hooper (2004) telah mengkaji penggunaan secara efektif keperluan teknologi yang semakin bertambah dan ingin melihat cara guru menggunakan teknologi dan sebab mereka menggunakannya. Mereka juga memfokuskan peranan utama pendekatan pedagogi yang digunakan dalam pengajaran di bilik darjah. Terdapat beberapa isu yang sering dikaitkan dalam pengajaran menggunakan komputer. Stallard (1998) dalam kajiannya menyatakan bahawa keadaan yang menjadikan pengajaran tersebut tidak berkesan ialah kurangnya persediaan guru untuk membangunkan pengajaran yang berbantukan komputer.
           Di samping itu terdapat juga permasalahan dari segi hardware untuk perisian kursus, sikap guru, pentadbir, latihan, galakan keluarga dan pengaruh komuniti yang mempengaruhi keberkesanan
pelaksanaan dalam bilik darjah (Moersch, 1995).

Sila klik link untk maklumat seterusnya :
http://eprints.utm.my/5968/1/08-yahya.pdf

PANDUAN : PERANAN DAN TUGAS GURU ICT.

        Kecemerlangan sebenar seorang guru tidaklah boleh diukur pada keupayaan dan kemampuan mengajar semata-mata kerana peranan sebenar guru bukan setakat melahirkan pelajar yang berjaya, tetapi juga yang berakhlak cemerlang di sekolah. Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) sememangnya guru memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai ciri-ciri seperti jati diri yang kukuh, berwawasan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran.

          Guru ICT selalu dikaitkan dengan guru yang mengajar mata pelajaran ICT  di sekolah. Justeru, Guru ICT juga dianggap guru yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang ICT dan mempunyai kelulusan peringkat ijazah atau pun pernah mengikuti kursus-kursus berkaitan dengan ICT. Guru ICT biasanya diberi tanggungjawab serta dilantik jawatan seperti Penyelaras Makmal Komputer Sekolah dan Guru Data. Tanggungjawab Penyelaras Makmal Komputer Sekolah ialah mengatur penggunaan makmal komputer di sekolah dengan menyediakan jadual penggunaan makmal komputer oleh guru dan pelajar, menyelenggara peralatan ICT seperti melaporkan kerosakan atau membuat kerja baik pulih. Justeru, peranan guru ICT di sekolah merangkumi tiga aspek utama iaitu penggubal pembelajaran, fasilitator pembelajaran dan pengurus pembelajaran.

Penggubal Pembelajaran:

     Guru ICT penting dalam menangani penggubalan pelajaran dengan melibatkan pelajar menggunakan aplikasi komputer yang lazim ditemui seperti hamparan elektronik dalam kumpulan kecil. Di samping itu, pelajar juga diwajibkan mengutip data sama ada secara dalam talian (online) atau melalui eksperimen atau sumber lain, memanipulasikan data, dan membuat refleksi ke atas penyelesaian. Selain itu, yang penting dalam persekitaran pembelajaran multidimensi yang berteraskan teknologi adalah keupayaan mencari, memperoleh dan menganalisis sumber maklumat. Oleh itu, guru perlu bijak menentukan pelajar belajar daripada pelbagai sumber dalam suasana yang penuh dengan maklumat seperti penggunaan Internet, CD ROM, perisian pendidikan dan sebagainya. Justeru itu, dapatlah memupuk pelajar memiliki hard and soft skill dalam mengenal dan menggunakan teknologi terutamanya alatan teknologi baru. 

Fasilitator Pembelajaran:

        Peranan guru perlu berubah daripada penyampai maklumat kepada fasilitator pembelajaran (Dufty & Jonassen, 1991). Guru ICT bukan sahaja memodelkan proses seperti bagaimana membina pelbagai medan (field) dalam pangkalan data tetapi juga memodelkan proses kognitif pemikiran yang diperlukan untuk mencapai tugasan pembelajaran. Dengan secara tidak langsung, pelajar dapat meningkatkan keupayaan penguasaan ilmu pengetahuan dan memupuk minat dan cintakan ilmu pengetahuan ICT.

Pengurus Pembelajaran:
      Komponen penting dalam persekitaran pembelajaran multidimensi adalah pengurusan yang berkesan. Sebagai peranan guru ICT perlulah merancang jadual kitaran berkesan yang mengambil kira apa yang pelajar akan lakukan sebelum ke makmal komputer, apabila berada di makmal komputer serta selepas menamatkan tugasan di makmal komputer. Memperkukuh disiplin pelajar ketika berada di makmal komputer juga diambil kira seperti memantau pelajar melayari web, muat turun (download), penjagaan alatan komputer dan sebagainya. Proses menyediakan jadual kitaran adalah kompleks data persekitaran pembelajaran multidimensi. Aspek kritikal guru sebagai pengurus adalah keupayaan guru menyelesaikan masalah teknikal yang timbul dalam proses pembelajaran. Guru perlu menguji perisian dan perkakasan sebelum pelajaran bermula dan menjangka masalah yang mungkin dihadapi oleh pelajar. Guru juga perlu selesa dengan aplikasi yang akan digunakan oleh pelajar.Walau bagaimanapun, masalah ini boleh dikurangkan dengan menggunakan kepakaran komputer yang difahami oleh pelajar. Kaedah ini adalah gabungan peranan guru ICT sebagai pengurus dan fasilitator untuk menggunakan sumber terbaik yang ada untuk membentuk persekitaran pembelajaran berpusatkan pelajar.
         

SUBJEK BARU DIPERKENAL

Dunia Sains dan Teknologi dedah murid kemahiran ICT .


          Mata pelajaran baru, Dunia Sains dan Teknologi telah diperkenalkan kepada murid-murid Tahun Satu mulai tahun ini untuk menggantikan subjek Sains di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).Mata pelajaran baru itu akan memberi pendedahan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara praktikal atau `hands-on’ bermula Tahun Satu, sekali gus membolehkan mereka memanfaatkan ilmu itu merentasi kurikulum untuk pembelajaran subjek lain.
        Selain itu, mereka juga akan mempelajari asas sains hayat, sains fizikal dan sains bahan yang diberi penilaian berasaskan sekolah melalui kaedah pemerhatian secara berterusan serta pelbagai pendekatan meliputi secara bertulis dan projek yang ditentukan oleh guru. Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata guru yang terbabit dalam subjek baru itu sudah mula menjalani kursus peringkat daerah. Mengikut sukatan pelajaran Dunia Sains dan Teknologi, murid Tahun Satu akan didedahkan kepada penguasaan ICT bagi enam minggu pertama yang memfokus kepada kemahiran menggunakan aplikasi dan program komputer. Pada dua minggu pertama, murid-murid Tahun Satu akan mempelajari Microsoft Word, diikuti Microsoft Power Point pada minggu ketiga dan keempat, manakala minggu kelima dan keenam pula didedahkan kepada Painting.
       Bagaimanapun, penguasaan kemahiran ICT ini tidak akan dinilai sebagai subjek peperiksaan, sebaliknya didedahkan kepada murid-murid Tahun Satu sebagai menyuntik nilai tambah dari segi kreativiti dan inovasi dalam bidang teknologi maklumat. Selepas pendedahan enam minggu, murid-murid akan mengasah dan memantapkan kemahiran yang dikuasai itu secara berterusan dan menggunakannya merentasi kurikulum untuk membantu keberkesanan pembelajaran mata pelajaran lain. Dari segi pengisian kurikulum Sains pula, sains hayat akan mendedahkan murid-murid Tahun Satu kepada pembelajaran objek hidup seperti manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, manakala sains fizikal berkaitan semua jenis deria, dan sains bahan pula membabitkan teknologi serta kehidupan lestari yang merangkumi cipta bahan dan reka bentuk.
        Pengajaran subjek Dunia Sains dan Teknologi untuk murid-murid Tahun Satu ini membabitkan dua waktu seminggu di mana mereka akan banyak terdedah kepada proses pembelajaran menyeronokkan menerusi kaedah inkuiri, iaitu secara dapatan dan penemuan menarik. Bagaimanapun, bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar,  Kementerian Pelajaran perlu bertindak proaktif melengkapi semua sekolah rendah dengan kemudahan makmal komputer atau sekurang-kurang peralatan komputer di setiap kelas Tahun Satu. Ini kerana, masih ada sekolah rendah yang tidak memiliki kemudahan di makmal komputer atau peralatan itu di bilik darjah. Sekiranya tidak ditangani segera, dikhuatiri akan menjejaskan matlamat pelaksanaan KSSR.