Sunday 10 July 2011

PANDUAN : PERANAN DAN TUGAS GURU ICT.

        Kecemerlangan sebenar seorang guru tidaklah boleh diukur pada keupayaan dan kemampuan mengajar semata-mata kerana peranan sebenar guru bukan setakat melahirkan pelajar yang berjaya, tetapi juga yang berakhlak cemerlang di sekolah. Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) sememangnya guru memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai ciri-ciri seperti jati diri yang kukuh, berwawasan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran.

          Guru ICT selalu dikaitkan dengan guru yang mengajar mata pelajaran ICT  di sekolah. Justeru, Guru ICT juga dianggap guru yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang ICT dan mempunyai kelulusan peringkat ijazah atau pun pernah mengikuti kursus-kursus berkaitan dengan ICT. Guru ICT biasanya diberi tanggungjawab serta dilantik jawatan seperti Penyelaras Makmal Komputer Sekolah dan Guru Data. Tanggungjawab Penyelaras Makmal Komputer Sekolah ialah mengatur penggunaan makmal komputer di sekolah dengan menyediakan jadual penggunaan makmal komputer oleh guru dan pelajar, menyelenggara peralatan ICT seperti melaporkan kerosakan atau membuat kerja baik pulih. Justeru, peranan guru ICT di sekolah merangkumi tiga aspek utama iaitu penggubal pembelajaran, fasilitator pembelajaran dan pengurus pembelajaran.

Penggubal Pembelajaran:

     Guru ICT penting dalam menangani penggubalan pelajaran dengan melibatkan pelajar menggunakan aplikasi komputer yang lazim ditemui seperti hamparan elektronik dalam kumpulan kecil. Di samping itu, pelajar juga diwajibkan mengutip data sama ada secara dalam talian (online) atau melalui eksperimen atau sumber lain, memanipulasikan data, dan membuat refleksi ke atas penyelesaian. Selain itu, yang penting dalam persekitaran pembelajaran multidimensi yang berteraskan teknologi adalah keupayaan mencari, memperoleh dan menganalisis sumber maklumat. Oleh itu, guru perlu bijak menentukan pelajar belajar daripada pelbagai sumber dalam suasana yang penuh dengan maklumat seperti penggunaan Internet, CD ROM, perisian pendidikan dan sebagainya. Justeru itu, dapatlah memupuk pelajar memiliki hard and soft skill dalam mengenal dan menggunakan teknologi terutamanya alatan teknologi baru. 

Fasilitator Pembelajaran:

        Peranan guru perlu berubah daripada penyampai maklumat kepada fasilitator pembelajaran (Dufty & Jonassen, 1991). Guru ICT bukan sahaja memodelkan proses seperti bagaimana membina pelbagai medan (field) dalam pangkalan data tetapi juga memodelkan proses kognitif pemikiran yang diperlukan untuk mencapai tugasan pembelajaran. Dengan secara tidak langsung, pelajar dapat meningkatkan keupayaan penguasaan ilmu pengetahuan dan memupuk minat dan cintakan ilmu pengetahuan ICT.

Pengurus Pembelajaran:
      Komponen penting dalam persekitaran pembelajaran multidimensi adalah pengurusan yang berkesan. Sebagai peranan guru ICT perlulah merancang jadual kitaran berkesan yang mengambil kira apa yang pelajar akan lakukan sebelum ke makmal komputer, apabila berada di makmal komputer serta selepas menamatkan tugasan di makmal komputer. Memperkukuh disiplin pelajar ketika berada di makmal komputer juga diambil kira seperti memantau pelajar melayari web, muat turun (download), penjagaan alatan komputer dan sebagainya. Proses menyediakan jadual kitaran adalah kompleks data persekitaran pembelajaran multidimensi. Aspek kritikal guru sebagai pengurus adalah keupayaan guru menyelesaikan masalah teknikal yang timbul dalam proses pembelajaran. Guru perlu menguji perisian dan perkakasan sebelum pelajaran bermula dan menjangka masalah yang mungkin dihadapi oleh pelajar. Guru juga perlu selesa dengan aplikasi yang akan digunakan oleh pelajar.Walau bagaimanapun, masalah ini boleh dikurangkan dengan menggunakan kepakaran komputer yang difahami oleh pelajar. Kaedah ini adalah gabungan peranan guru ICT sebagai pengurus dan fasilitator untuk menggunakan sumber terbaik yang ada untuk membentuk persekitaran pembelajaran berpusatkan pelajar.
         

1 comment:

  1. Guru ict yang baik ialah guru ict yang mampu mengurus dan bertindak sebagai sumber ict di sekolah.

    ReplyDelete